Video

Saturday, October 22, 2011

Tunjuk Berani Demi Kerja




CUKUP sukar sekali untuk menemubual ‘wanita waja’, Datuk Maznah Hamid yang merupakan usahawan perniagaan kawalan keselamatan bukan hanya terkenal di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Beliau sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan perniagaan selain turut aktif dalam dunia politik.

Oleh sebab itu, tidak menghairankan, beberapa kali temu bual terpaksa ditunda.

Setelah puas menunggu, akhir anak kelahiran Ayer Hitam, Jerlun, Kedah, itu berjaya memperuntukan masa selama dua jam untuk berkongsi kisah peribadinya baru-baru ini.

Soalan pertama yang diajukan kepada beliau ketika temubual itu adalah gelaran wanita besi. Secara berseloroh, Maznah menjawab;

“Ramai orang geram dengan saya. Semuanya gara-gara imej berani, tegas dan kebal yang jelas tertonjol pada imej penampilan saya. Tetapi, orang tidak tahu bahawa saya terpaksa mengekal imej dan watak itu demi kerja.

“Kalau saya tidak berani dan tegas, saya akan dipijak-pijak, malah, kebanyakan pekerja saya adalah lelaki, bagi menimbulkan rasa hormat, saya perlu dominan,’’ katanya.

Namun beliau juga bimbang gelaran itu akan menyebabkan masyarakat umum beranggapan beliau seorang queen control terhadap suaminya, Datuk Shaheen Mirza.

‘‘Tanggapan (queen control) itu tidak benar sama sekali, hakikatnya, kami adalah rakan kongsi dalam perniagaan yang saling melengkapi,’’ ujarnya.

Menurut Maznah yang gembira dengan kejayaan semasanya berkata, apa yang diraih kini adalah hasil kerja keras dan usaha yang bersungguh-sungguh.

Maznah berkata, beliau berasal keluarga miskin dan dibesarkan oleh nenek sejak berusia lima tahun selepas berlaku perpecahan keluarga.

Katanya, dia merupakan kanak-kanak yang kesepian, tetapi kekurangan itu menjadi satu rahmat kerana faktor itu menyebabkan beliau berusaha keras untuk menjadi insan berjaya.

Maznah menyifatkan dirinya bukanlah pelajar pintar ketika di sekolah, tetapi amat meminati bahasa Inggeris sehingga meneruskan pengajiannya ke kolej.

Selepas menamatkan pengajian, Maznah bekerja sebagai guru bahasa persendirian atau penterjemah bahasa di pejabat kedutaan asing di Kuala Lumpur selama dua tahun.

Selain pejabat kedutaan, Maznah pernah menjadi guru bahasa persendirian di syarikat-syarikat multinasional.

Pendedahan dengan kehidupan ‘orang kaya’ sewaktu bekerja mendorong Maznah untuk turut mencari petua untuk berjaya seperti mereka.

Malah, ramai orang kenamaan yang menasihatkan beliau supaya menceburi bidang perniagaan yang beliau mempunyai kekuatan atau belum diterokai oleh orang lain.

‘‘Oleh sebab, hampir setiap hari saya berkunjung ke rumah kedutaan asing dan mendapati mereka mempunyai rumah pengawal, pengawal keselamatan dan pengawal peribadi.

‘’Jadi, saya berasa mereka (orang kenamaan) adalah merupakan golongan sasaran penting untuk mendapatkan khidmat perniagaan itu. Jadi, saya pun berfikir untuk mencuba perniagaan kawalan keselamatan,’’ ujarnya.

Berbekal duit poket dan simpanan hasil mengajar di rumah duta dan orang kenamaan sebanyak RM5,000, Maznah dan suami telah mengambil alih sebuah syarikat keselamatan pada tahun 1980 dengan menamakannya Securiforce Sdn. Bhd.

Pada waktu itu, Maznah memulakan perniagaan dengan lima pengawal keselamatan dan lima pelanggan terdiri daripada orang kenamaan.

‘’Waktu itu, saya sudah kahwin, duit tidak ada dan gagal mendapat pinjaman bank untuk membesarkan perniagaan. Jadi, kami terpaksa menjual rumah dan menyewa rumah di kawasan setinggan tanpa bekalan elektrik selama dua tahun,’’ kata beliau.

Rahmat dari kesusahan itu, Maznah mendapat kekuatan diri untuk berusaha dengan lebih gigih bersama-sama suaminya.

Katanya, universiti terbaik dalam kehidupan adalah kepahitan dan kesusahan yang menjadikan diri seseorang lebih kreatif, inovatif, kebal dan bijaksana.

Menurut Maznah, beliau dan suami menderita kesusahan hampir 10 tahun untuk memastikan perniagaan kawalan keselamatan berkembang.

‘’Saya sendiri pernah menjadi pengawal keselamatan di sebuah pasar raya menggantikan pekerja yang pulang ke kampung kerana bercuti Hari Raya Aidilfitri. Manakala suami saya pula tugas rondaan keselamatan di rumah orang kenamaan.

‘‘ Tidak siapa pun tahu ketika itu, saya adalah pemilik syarikat kawalan keselamatan,’’ jelas beliau.

Katanya, pelbagai pengalaman yang ditempuh sejak awal hingga akhir menyebabkan pihaknya berjaya mengadakan sistem keselamatan yang canggih dan menyeluruh pada waktu ini.

Maznah berkata, pihaknya turut pernah melibatkan diri dalam perniagaan jualan langsung dan juga pelbagai produk, untuk mendapat modal pusingan.

Beliau yang mendapat pengiktirafan pertama iaitu Anugerah Usahawan Cemerlang pada 1990 berkata, seseorang usahawan perlu mempunyai pelbagai kemahiran dan pelbagai bakat.

Pada malam penyampaian anugerah itulah Maznah buat pertama kali mendapat gelaran ‘wanita besi’ yang diberikan oleh pengacara majlis pada waktu itu.

Kini, Securiforce mempunyai 65 cawangan di seluruh negara dengan 5,000 kakitangan, 4,000 daripadanya merupakan pengawal keselamatan.

Syarikat itu kini telah menembusi lebih 10 buah negara.

Rencana ini dipetik daripada www.utusan.com.my pada 24 September 2011

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More