Video

Saturday, October 22, 2011

Kilang Pengeluar Insan Berjaya



Kelantan terkenal sebagai kilang menghasilkan ramai pemain bolasepak yang ternama dalam negara. Malah pasukan bolasepak negeri ini juga seringkali memenangi piala kejohanan bolasepak Malaysia. Jepun terkenal dengan penghasilan produk-produk elektronik berjenama. Mereka memang inovatif dalam menghasilkan produk-produk baru sesuai dengan permintaan pasaran. Manakala jika kita singgah ke Jerman, mereka juga tidak kurang hebat dalam pembuatan kereta yang berkualiti sejak daripada dulu lagi. Switzerland dengan jam, Perancis dengan fesyen dan terbaru kuasa ekonomi Asia, Korea Selatan menjadi pengeluar kapal pengangkut yang terhebat di dunia.

Bagaimanakah negara-negara ini boleh menghasilkan sumber manusia yang boleh menerajui ekonomi pengeluar yang terbaik peringkat dunia?

Zaman selepas merdeka, Malaysia menumpukan kepada ekonomi berdasarkan pertanian dan pembuatan. Manakala dengan wujudnya tenaga buruh negara yang murah pada tahun 1980an telah menarik ramai pelabur daripada luar negara untuk membina kilang-kilang pengeluaran bagi menghasilkan produk dengan kos murah di Malaysia.

Setelah kita memasuki era 2000, kos buruh di negara kita semakin meningkat, manakala negara jiran seperti Vietnam, Thailand dan China mampu menarik pelabur dengan kos buruh dan tenaga profesional yang rendah menyebabkan satu demi satu kilang menutupkan operasi mereka di negara kita.

Kini sudah sampai masanya kita semua memainkan peranan menjana ekonomi baru yang bukan lagi tertumpu kepada menghasilkan produk, tetapi menghasilkan tenaga kerja yang boleh menggerakkan ekonomi negara. Bagaimana?

Jika seorang jurulatih sesuatu jenis sukan, mereka bertanggungjawab menghasilkan atlet-atlet yang bertaraf dunia yang mampu menjana pendapatan jutaan ringgit. Bagi seorang pensyarah, mereka bertanggungjawab untuk membuat penyelidikan bagi menghasilkan produk-produk yang baru untuk dipatenkan. Manakala dalam industri hiburan pengarah/penghasil karya perlu melahirkan hasil seni yang boleh dijadikan produk eksport ke luar negara. Dan jurulatih usahawan bertanggungjawab melahirkan ramai usahawan baru yang berdaya saing dalam pasaran.

Secara ringkasnya ekonomi zaman kini bukan lagi menitikberat penghasilan produk sahaja, tetapi mengkaji dan menghasilkan produk yang inovatif dalam pasaran serta kualiti insan yang boleh dilahirkan melalui pendidikan. Jika ramai insan yang berkualiti dapat dihasilkan secara tidak langsung kita boleh menjadi pengeluar yang terkenal peringkat antarabangsa seperti yang telah dilakukan oleh negara maju.

Credit : Bina Usahawan

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More